Ahad, 9 November 2008

Golongan dewasa gemuk sesuai dipanggil 'gedebok'


PUTRAJAYA 8 Nov. - Golongan dewasa yang mengalami masalah kegemukan atau obesiti lebih sesuai dipanggil 'Gemuk, Gebu dan Gedebok' berbanding 'Gemuk, Gebu dan Gempal', kata isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.
Beliau berkata, jolokan '3G' iaitu 'Gemuk, Gebu dan Gempal' lebih sesuai diberikan kepada golongan remaja dan kanak-kanak yang berhadapan dengan masalah berat badan berlebihan.
"Untuk dewasa saya tukar gempal itu kepada gedebok, itu lebih sesuai," katanya ketika berucap merasmikan majlis Forum Obesiti di Kalangan Kanak-Kanak dan Remaja di Dewan D'Seri Endon, bangunan Puspanitapuri di sini hari ini.
Forum tersebut dianjurkan oleh Hospital Putrajaya bagi memberi kesedaran dan pendedahan kepada ibu bapa yang memiliki anak-anak obes mengubah tabiat pemakanan anak mereka.
Hadir sama Yang Dipertua Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita), Puan Sri Wan Noorlina Wan Hussin.
Siti Hasmah berkata, bagi menangani masalah obesiti, ibu bapa perlu mengamalkan gaya hidup sihat dan pemakanan yang seimbang kerana tabiat baik itu akan mempengaruhi anak-anak mereka.
Selain itu katanya, maklumat betul mengenai cara berkesan menangani masalah kegemukan di kalangan remaja dan kanak-kanak juga perlu disampaikan kepada ibu bapa.
"Pada dekad 60-an dan 80-an, negara kita berhadapan dengan masalah kekurangan zat makanan dan kurang berat badan tetapi sekarang masalah sebaliknya iaitu berlebihan makanan tidak sihat seperti karbohidrat, lemak dan obesiti," katanya.
Siti Hasmah menambah, ibu bapa juga perlu meneruskan amalan permainan atau aktiviti fizikal seperti permainan tradisi melompat dan berbasikal sebagai salah satu kaedah menangani masalah obesiti itu.
Menurutnya, di zaman teknologi moden, kanak-kanak dan remaja lebih cenderung kepada gajet teknologi maklumat (IT) dan permainan komputer yang menyebabkan mereka kurang bermain dan berinteraksi dengan adik-beradik, rakan serta ibu bapa.
Beliau menasihatkan ibu bapa supaya mengatur program harian anak-anak dengan melakukan aktiviti fizikal bersama supaya dijadikan amalan biasa bagi keluarga.
Siti Hasmah berkata, beliau sendiri hanya berhenti bermain badminton ketika berusia 75 tahun selepas salah satu uratnya putus atas nasihat doktor pada 1999.
"Pemain profesional negara sendiri berhenti bermain (badminton) dalam usia sangat muda tetapi saya masih mampu bermain walaupun sudah menginjak usia 75 tahun," katanya.

Tiada ulasan:

Pengurusan Berat Badan ? Dr Kamarul 0162090812