
Hafiz (bukan nama sebenar)baru berusia enam
tahun tetapi tabiat tidurnya seperti orang dewasa. Dia sering berjaga
lewat malam hingga kadang kala mencecah pukul 1 pagi biarpun esoknya
merupakan hari sekolah.
Arahan ibu bapanya agar tidur awal langsung tidak diendah, sebaliknya
dia terus leka menghadap permainan video atau menonton televisyen.
Sepanjang tempoh itu dia akan berulang-alik ke dapur mencari apa saja
yang boleh dikunyah bagi mengisi perut yang lapar.
Tabiat tidur lewat malam Hafiz bukan sahaja akan memberi kesan pada
rutinnya di sekolah keesokan hari, malah mengambil makanan pada lewat
malam juga mendedahkannya pada risiko obesiti.
Menurut Pakar Perunding Kanak-kanak, Pusat Perubatan Kpj Damansara,
Dr.Mohammad Iqbal Mohammad Sarwar, kanak-kanak yang sedang membesar
memerlukan waktu tidur yang mencukupi bagi membantu proses perkembangan
mental dan fizikal berlaku dengan baik.
Kanak-kanak yang tidur awal mempunyai kualiti tidur yang mencukupi.
Tidur yang berkualiti akan membuatkan tubuh badan dan minda lebih cergas
serta bertenaga pada siang hari.
Di Barat, ibu bapa membiasakan anak mereka tidur pada awal waktu.
Kebiasaannya pada pukul 7 atau 8 malam anak-anak akan disuruh masuk
tidur. Menjelang waktu itu, mereka sudah tidak digalakkan bermain dan
melakukan aktiviti lasak.
Budaya ini berbeza dengan di Malaysia. Di sini, kanak-kanak tidak
dibiasakan dengan rutin tidur awal. Kebanyakan mereka pada pukul 9 malam
masih aktif bermain, menonton televisyen dan sebagainya," katanya.
Menurut Dr. Mohammad Iqbal, apabila kanak-kanak dibiarkan berjaga
sehingga lewat malam tidak kira sama ada bermain mahupun menonton
televisyen, kecenderungan perut mereka berasa lapar adalah lebih tinggi.
Perut yang lapar akan mendorong mereka mengambil makanan pada lewat
malam yang akhirnya membawa kepada masalah seterusnya iaitu obesiti.
"Satu hidangan berat diambil pada lewat malam menyebabkan tubuh terpaksa bekerja keras untuk mencernakan makanan tersebut.
Ini juga akan menyebabkan tubuh kepenatan kerana organ-organ
pencernaan tidak mendapat rehat yang secukupnya apabila terpaksa
bekerja sepanjang malam bagi mencernakan makanan yang diambil," katanya.
Dalam pada itu kata Dr. Mohammad Iqbal, kanak-kanak yang tidur awal
juga menunjukkan kesan yang positif pada diri dan aktiviti seharian
mereka.
Mereka yang mempunyai tidur cukup akan mudah bangun di awal pagi.
Selain itu, mental dan fizikal turut cergas membuatkan mereka lebih
konsisten dan fokus ketika di sekolah.
Kanak-kanak ini juga mempunyai masa yang mencukupi untuk mengambil
sarapan pagi. Kajian menunjukkan pengambilan sarapan pagi dapat membantu
seseorang terutama kanak-kanak memberi tumpuan penuh ketika di sekolah
dan membantu meningkatkan prestasi pembelajaran.
Mengambil sarapan pagi sebenarnya membantu juga mengurangkan
masalah berat badan berlebihan, kerana ia mengelakkan seseorang itu
daripada mengambil makanan ringan atau snek sebelum tiba waktu makan
tengah hari," katanya.
Menurut Dr. Mohammad Iqbal lagi, melihat situasi kanak-kanak yang
gemar tidur lewat malam, bukan sahaja mengundang tabiat pemakanan lewat
malam, malah keadaan itu turut menyumbang kepada peningkatan jumlah
kanak-kanak obesiti.
Kajian Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2006, menunjukkan
43 peratus rakyat Malaysia berada dalam kategori obes dan daripada
jumlah tersebut 38 peratus adalah kanak-kanak.
Kajian dari institut kesihatan awam pula menunjukkan 19.6 peratus
kanak-kanak sekolah berusia dari 7 hingga 12 tahun mengalami masalah
obesiti.
Kajian juga menunjukkan kanak-kanak yang mengalami masalah
berlebihan berat badan pada usia selepas tiga tahun, akan membesar
menjadi orang dewasa yang obes.
Jika mereka obes pada usia enam tahun, kemungkinan untuk menjadi
obes pada usia dewasa adalah 15 peratus lebih tinggi. Bagi kanak-kanak
yang obes ketika usia 12 tahun, kecenderungan menjadi obes apabila
dewasa ialah 70 peratus," katanya.
Dr. Mohammad Iqbal menambah, pelbagai faktor lain mendorong kepada
masalah obesiti di kalangan kanak-kanak, yang perlu mendapat perhatian
serius terutamanya di kalangan penjaga mereka.
Faktor genetik seperti sejarah keluarga yang mempunyai berat badan berlebihan mempengaruhi pertumbuhan kanak-kanak tersebut.
Selain itu, persekitaran dan cara hidup yang kurang melakukan
aktiviti sihat seperti kurang bersenam dan mengambil makanan yang tidak
sihat seperti tinggi kandungan gula dan garam turut mempengaruhi
kesihatan mereka.
Sebaiknya, ibu bapa digalakkan mengurangkan kadar pengambilan jus
buahan yang mudah dibeli di pasar raya. Kebanyakan jus tersebut
mempunyai kandungan gula yang tinggi," katanya. - Siti Aishah Yusoff