Sabtu, 8 November 2008

Kembara Ke Bumi Anbiya


Pada 9 Oktober 2007 yang lalu, penulis bersama-sama rakan rakan seperjuangannya Ustaz Aziz Che Omar, Ustaz Mokhtaruddin Ahmad dan Dr.Helmy Hassan telah berangkat ke Bumi Mesir yang terletak di utara Republik Sudan.

Tujuan kami adalah untuk menyambut Aidil Fitri di sana serta menjelajahi bumi mesir yang terkenal dengan kesan kesan sejarah dan sirah nabawiah.Kami juga ingin mengambil iktibar diatas kejadian dan kekuasaan Allah di muka bumi ini.Firman Allah dalam Surah Al Imran,


إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ وَاخْتِلاَفِ الأَلْبَابِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَآيَاتٍ لِّأُوْلِي




Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; Al Imran 190

Pada hari bermusafir, kami telah berada di Airport Khartoum sebelum waktu maghrib lagi, di sana kami menunggu masa berbuka puasa sebelum dibenarkan untuk daftar masuk.Kami mendapat berita dari Airport Ground Staff bahawa jadual penerbangan ditundakan selama 2 jam disebabkan masalah kelewatan di Nairobi.Selama itu kami terpaksa menunggu di Kawasan Menunggu yang baru diubah suai baru baru ini.Kawasan ini dilengkapi dengan sistem internet percuma tanpa wayar yang moden.Setelah waktu berangkat tiba, pintu masuk dibuka dan kami menuju ke Pesawat Kenya Boieng 737-800.Perjalanan kami ke Kaherah menaiki pesawat Kenya Airways mengambil masa 2 jam setengah.Penulis telah membuat pesanan awal kepada agen tiket supaya memastikan bahawa hidangan yang disediakan adalah Halal (MOML).

Sampai di Cairo International Airport, kami disambut oleh Ustaz Mustapha Borhan bekas mahasiswa Malaysia di Sudan.Kami ditempatkan selama 3 malam di Rumah Tetamu Ulil Albab Terengganu, Hayy Ashir.

Keadaan di Mesir amat berbeza jika dibuat perbandingan dengan Sudan.Negara Mesir lebih maju dan lebih padat penduduknya.Masyarakatnya dilihat lebih terdedah dengan aktiviti sosial yang telah menjadi budaya mereka.

Pengalaman bersolat taraweh di Mesir amat bermakna.Kemerduan suara imam membaca Ayat-ayat suci Al-Quran telah menusuk jiwa para makmum berduyun duyun setiap malam.Pada malam terakhir taraweh Imam telah menutupnya dengan Bacaan Doa yang panjang, beliau berdoa agar umat islam diberikan kesejahteraan dan keamanan serta para pemuda Islam diberikan kekuatan agar terus berjuang melawan ujian dan rintangan yang ada.
Pada malam raya,kami terpaksa berpindah rumah ke kawasan Taiba Mall disebabkan kesilapan tempahan Rumah tetamu Terengganu.Segala urusan perpindahan dibantu oleh rakan dari Pattani yang dikenali sebagai Mat Lamplai.Rumah yang baru ini lebih selesa dan hampir ke pusat bandar kaherah.

Hari Lebaran di Kaherah

Hari Raya Aidil Fitri disambut pada Hari Ahad, sehari selepas Sudan dan Saudi Arabia menyambutnya.Kami Solat Sunat Aidil Fitri di Dewan Malaysia Abbassiah.Khatib yang ditugaskan pagi tersebut adalah Head Chancery Kedutaan Besar Malaysia ke Mesir.

Setelah bersolat, kami dihidangkan dengan Jamuan Pagi Raya di Dataran Dewan Malaysia.Menu pada hari tersebut adalah Nasi Hujan Panas,Ayam Merah,Mee Goreng ,Sate dan Nasi Impit.Dinggarkan seramai 1000 tetamu yang hadir memeriahkan majlis raya.

Setelah itu kami mengambil kesempatan untuk beraya di rumah bekas penuntut Malaysia di Sudan, Ustaz Abd Qayyum.Pada malam raya pertama kami dijemput ke Kediaman Konsul Matrade Mesir di Zamalek.Kami juga mengambil kesempatan beraya di Rumah-rumah terbuka yang diadakan sepanjang musim perayaan.
Persatuan Mahasiswa Perubatan Malaysia di Mesir


Semasa berada di sana, kami mengambil peluang mengadakan pertemuan dengan wakil persatuan perubatan Malaysia di Mesir.Setakat ini bilangan penuntut perubatan telah menjangkau angka 1000 lebih ditempatkan di Universiti-universiti Mesir.Kami menjemput pimpinan persatuan perubatan yang diketuai oleh Presidennya Saudara Dr. Hamdan untuk berhari raya di apartment kediaman kami.Walaupun perbincangan tersebut lebih kepada bicara bersahaja, namun banyak idea-idea dan maklumat didapati natijah daripada pertemuan ringkas ini.

Menaiki Keretapi ke Iskandariah


Kembara kami diteruskan ke Iskandariah yang terletak di utara mesir.Kami menaiki keretapi turbin laju yang mengambil masa 2 jam setengah sahaja.Suasana di Iskandariah amat berbeza jika dibandingkan dengan Kaherah.Hembusan angin laut Mediterranean yang nyaman sungguh melegakan pernafasan. Kami mengambil peluang bersiar-siar di Bandar Iskandariah serta kawasan bersejarah di sekitarnya.Antara tempat-tempat yang menarik adalah Kubu Salahuddin,Istana Raja Faroq,Masjid 3 Beradik, Peninggalan Catacomb dan pemandangan di sepanjang pantai iskandariah.Kami berada di Iskandariah selama 2 malam sebelum kembali semula ke Kaherah.



Festival Konvokesyen dan Anugerah Mahasiswa-mahasiswi Cemerlang (FKAMC) kali ke-15




Kami dijemput hadir ke Festival Konvokesyen Al Azhar melalui jemputan Ustaz Hud, Naib Presiden PMRAM.Sebagai wakil kepada PMMS, kami ditempatkan di kawasan tetamu VIP bersama-sama jemputan-jemputan yang lain. FKAMC kali ini berlangsung di Dewan Fustat, Azhar Conference Centre (ACC) dihadiri oleh Al-'Allamah Al-Muhaddis Al-A'zam Syeikh Muhammad Ibrahim Al-Kittani Al-Husaini, Prof. Dr. Saad Saad Jawish, Fadhilat Al-Syeikh Hassan Ibnu Rajab dan Fadhilat Al-Syeikh Muhammad Abdul Nabi.


Semenanjung Sinai

Pengalaman paling indah kami sepanjang mengembara di bumi kinanah adalah mengunjungi Wilayah Semenanjung Sinai.Pengembaraan kami seramai 14 orang menaiki van Toyota hiace telah bertolak menuju semenanjung Sinai pada jam 2 pagi.Kami singgah di Masjid Terusan Suez untuk bersolat Subuh sebelum meneruskan perjalanan melalui terowong suez yang menghubungkan benua asia dan eropah.Setelah sampai di Semenajung Sinai, kami menuju ke Timur semenanjung Sinai,Taba iaitu kawasan sempadan 4 buah negara.Di sana kami dapat melihat dari dekat sempadan Negara Saudi Arabia,Jordan,Israel dan Mesir.Terdapat juga kubu pertahanan Salahuddin yang dibina di sebuah pulau mengadap kawasan sempadan.Hilton Taba yang pernah mengemparkan dunia setelah dibom beberapa tahun lepas telah dipindahkan milik tanahnya kepada Kerajaan Mesir daripada Israel.

Kami kemudiannya kembali ke selatan semenajung Sinai untuk bermalam di Dahab,pusat peranginan laut merah.Keindahan pantai yang bersih, laut yang jernih dan udara yang nyaman memberikan ketenangan kepada jiwa.

Keesokannya kami meneruskan pengembaraan ke tanah tinggi Saint Catherine yang menempatkan Jabal Musa.




Panggilan Tursina

Kami sempat menziarahi makam Nabi Salleh sebelum memasuki pekan saint Catherine.Aktiviti pertama kami di sana adalah menaiki Wadi Arbain.Di sana terdapat kesan sejarah yang menempatkan sebuah batu 12 mata air yang sepertimana termaktub dalam Al-Quran.Kami kemudiannya berehat sebelum aktiviti mendaki pada malamnya.

Jabal Musa, nama lain bagi Tursina yang ketinggiannya menjangkau 2,285 meter terletak di kawasan ini.Bagi penulis, inilah kali pertama mengikuti aktiviti mendaki yang pastinya mencabar.Kami tiba di permulaan pendakian pada jam 1.30 pagi.Walaupun diumpan dengan kenderaan Unta, kami tetap bertekad untuk mendaki gunung dengan berjalan kaki sahaja.Perjalanan yang terbahagi kepada dua fasa, fasa pertama adalah dakian lereng gunung di trek yang telah disediakan.Walaupun mengambil jarak yang jauh namun ia tidaklah sesukar fasa kedua. Fasa kedua adalah menaiki 750 anak tangga yang sempit dan licin.Pengalaman perit ini bukanlah alasan untuk tidak meneruskan perjuangan.Keadaan menjadi lebih gamat apabila penulis melihat kebawah dan kemudian membandingkan jarak perjalanan ke atas.Ini menyebabkan perasaan gayat dan memeningkan kepala.Di sini kita dapat lihat bantuan setiakawan amat bermakna walaupun dalam keadaan keletihan yang sama dapat membantu penulis untuk sampai ke destinasi yang dituju.Udara yang begitu dingin bukan penghalang untuk terus bergerak sehinggalah kami sampai ke Puncak Jabal Musa.

Puncak tersebut telah didirikan sebuah surau dan gereja.Kami terus ke Surau untuk mendirikan Solat Subuh.Perasaan gembira kami tidak terkata namun disebabkan keletihan kami terus tidur di surau sementara menunggu waktu terbit matahari.

Suasana menjadi riuh tatkala langit mula menguning, kemunculan matahari secara perlahan-lahan di amati seluruh pendaki ketika itu.Keindahan ciptaan Allah memang terserlah dengan keunikan pancaran mentari pagi.Selain kami, terdapat juga pelbagai etnik dan bangsa yang turut serta menghayati pemandangan indah tersebut.Kami dapat lihat penganut agama samawi yang lain seperti Yahudi dan Nasrani memulakan amalan ibadah mereka.Tidak ketinggalan terdapat sekumpulan pengikut agama hindu yang mula membaca mantera seperti menyembah sang matahari.Setelah matahari sudah tinggi, kami masuk semula ke surau untuk berehat semula sebelum menuruni jabal musa.

Arah laluan penurunan merupakan jalan yang berbeza daripada sesi mula pendakian, kali ini kami diuji dengan penurunan menggunakan anak-anak tangga yang licin dan makin curam. Ketahanan otot peha kaki perlu ada bagi memastikan tiada insiden yang tidak diingini berlaku.Kami meneruskan perjalanan sehingga sampai ke perkampungan Nabi Allah Syuaib.Ukiran dan bentuk pada gunung-gunung yang kami lalui memang unik dan indah.Terdapat Pintu gerbang yang menyerupai seakan-akan kami beada di zaman “robin hood”.Kami berjaya kembali ke kaki gunung pada jam 9.30 pagi dan kemudiannya kembali semula ke kem penginapan kami di Pekan Saint Catherine.

Lembu Samirin, Maqam Nabi Harun dan Kesan Perang 6 Oktober

Sebelum berangkat pulang ke Kaherah, kami sempat meninjau kawasan kesan sejarah penyembahan lembu emas Samirin.Terdapat bentuk seakan-akan anak lembu jelas pada permukaan bukit.Kawasan ini berhampiran dengan Maqam Nabi Allah Harun.Penulis ketika itu amat keletihan dan hanya mampu melihat sekadar didalam van sahaja.Perjalanan kami diteruskan sehinggalah sampai ke kawasan Ain Musa, yang terdapat kesan peperangan Mesir – Israel pada tahun 1968-1973.Kem yang dibina disitu merupakan kubu terkuat Israel ketika menakluk semenajung Sinai.Kami dapat melihat kecanggihan peralatan pertahanan dan komunikasi Israel.Setiap cabin perlindungan dilengkapi dengan senjata kebal.Askar Israel berperang di atas semangat agama yang dapat ditafsirkan melalui jumlah kitab-kitab Taurah yang terdapat di setiap kabin dan kem.Kami kemudiannya ke Ain Musa, terdapat telaga yang digunakan oleh Kaum Nabi Musa semasa melarikan diri daripada Firaun yang kejam.

Lawatan sekitar Bandar Kaherah

Bandar Kaherah yang pesat membangun menempatkan banyak tempat-tempat menarik dan bersejarah untuk dilawati.Kami sempat ke Jami’ Al Azhar yang merupakan pusat pengajian tertua di dunia.Terdapat Masjid Hussain di sebelahnya yang menempatkan Maqam Saidina Hussain.Bazar Khan Khalili merupakan destinasi tumpuan pelancong di sana yang berminat untuk membeli buah tangan dan hasil kraftangan Mesir.Selain di bazaar, tempat tumpuan lain adalah di Asfour, Kilang Kristal Mesir yang terletak di kawasan Shoubra.
Keberangkatan pulang ke lembah pertemuan sungai nil

Penjelajahan kami yang mengambil masa selama 18 hari begitu cepat berakhir.Sudah tiba masanya untuk kami kembali ke Bumi Sudan Tercinta.Walaupun Mesir lebih indah dan maju namun hati dan perasaan kami tetap mengingati Sudan bak pepatah melayu “Hujan Emas di Negeri Orang, Hujan Batu di Negeri Sendiri, Lebih baik di Negeri sendiri”.Kami selamat kembali semula di Khartoum pada tepat masanya dan segala pengalaman yang kami lalui kami akan jadikan kenangan yang sentiasa dihayati.Kembara Jelajah Bumi Anbiya dalam perancangan akan diteruskan lagi di masa-masa akan datang ke Jordan,Syria,Lubnan dan Turki.

Tiada ulasan:

Pengurusan Berat Badan ? Dr Kamarul 0162090812